Perutusan Dekan

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera.

 

SELAMAT  DATANG DAN TAHNIAH!

Kepada semua pelajar yang dikasihi,

 

Selamat datang dan tahniah kerana anda telah terpilih untuk menyambung pengajian di Universiti Malaysia Terengganu. Kami merasa teruja dengan kehadiran anda di Pusat Pengajian Pembangunan Sosial dan Ekonomi, UMT.  Kehidupan anda sebagai pelajar universiti telah bermula.  Sematkan dalam hati bahawa kejayaan dalam pengajian adalah bergantung kepada usaha yang dilakukan.   Pusat Pengajian Pembangunan Sosial dan Ekonomi, iaitu warga pensyarah dan sokongan akademik, sentiasa berusaha membantu anda meneroka kejayaan sepanjang pengajian di universiti.

Minggu Jalinan Mesra (MJM) diadakan khas untuk anda bagi membantu menyesuaikan diri dengan kehidupan di kampus UMT, mendapat maklumat mengenai program pengajian yang ditawarkan dan perkhidmatan yang disediakan.  Kami yakin menerusi aktiviti yang dijalankan sepanjang MJM, yang melibatkan perkongsian, pengembangan dan pemindahan ilmu serta kemahiran, anda akan menjadi kebanggaan keluarga, masyarakat dan negara. Sudah pasti PPPSE berasa bangga menjadi sebahagian daripada organisasi pembelajaran yang bertanggungjawab untuk melahirkan graduan yang kelak berperanan dalam membentuk masa depan negara.  Sebagai mahasiswa-mahasiswi di PPPSE dan warga UMT, saya yakin anda mampu membina kejayaan, seterusnya menyumbang secara berkesan terhadap pembangunan sosial dan ekonomi demi kesejahteraan generasi masa kini dan akan datang.

 

PPPSE sentiasa berusaha membantu anda membina kejayaan sebagai pelajar cemerlang di UMT.  Oleh itu, Pembimbing Siswa yang terdiri dari kalangan pensyarah dalam program pengajian yang diikuti dilaksanakan bagi membantu anda mendapatkan bimbingan dan tunjuk ajar terutama dalam hal ehwal akademik dan bidang lain yang berkaitan. Budaya pembelajaran dan cara hidup di kampus adalah berbeza di mana anda perlu berdikari dan bersikap proaktif serta berdaya saing dalam apa jua bidang atau aktiviti yang diceburi. Gunakan peluang ini sebaik mungkin dalam melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran insaniah.

 

Sekali lagi, saya ucapkan selamat datang ke Pusat Pengajian Pembangunan Sosial dan Ekonomi UMT. Kami berdoa semoga anda akan berjaya dengan cemerlang untuk menjadi pelajar dan graduan yang terbaik.

 

Terima kasih. Wassalam.

 

Prof. Madya Dr. Ruhani Mat Min

Dekan,

Pusat Pengajian Pembangunan Sosial dan Ekonomi

Universiti Malaysia Terengganu